Pemergianmu…


27.6.2014

Petang itu, kira-kira pukul 6.30 petang aku sedang leka berborak dengan ibu. Kemudian ibu mendapat panggilan dan memanjangkan kepadaku bahawa, Wan Angah dimasukkan ke unit kecemasan sejak pukul 4 petang lagi. Hati ibu mula rasa tidak keruan dan kami sekeluarga merancang untuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban selepas Maghrib. Setibanya kami ke hospital Wan masih dirawat sehinggalah hampir pukul 10 malam barulah dibawa ke wad. Keadaan ketika itu begitu tegang apabila doktor menyarankan untuk membuat pembedahan tetapi dengan keadaan Wan yang lemah dan terlalu kurus membuatkan kami semua kurang bersetuju. Tambahan lagi, doktor juga sudah mengatakan bahawa Wan sedang nazak dan berlaku pecah di dalam perut. Ketika itu hatiku dilanda kerisauan yang amat dan terbayang kenangan ketika kami sekeluarga menyambut raya di rumah Wan.

Itulah kali terakhir aku melihat Wan masih menghirup udara dunia, sebelum ditolak ke dalam wad. Memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 11 malam maka pelawat tidak dibenarkan masuk hanya ibu yang berkesempatan melihat Wan Angah. Ibu menceritakan keadaan Wan yang merasakan panas tetapi ibu merasa kaki Wan sejuk sahaja. Wan juga meminta bubur dari anaknya malam itu. 

Wan Angah adalah adik beradik kepada arwah Wan aku sebelah ibu. Arwah Wan meninggalkan aku ketika aku masih berumur 2 tahun. Kini yang tinggal hanya Wan Ambong yang memang aku anggap seperti wan aku sendiri. 

Tepat jam 11.30 kami sekeluarga balik ke rumah di Seremban Jaya dan aku lihat ibu hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Aku dan ibu bercadang pada keesokan pagi akan melawat Wan Angah di hospital bertempat di wad 8B.

Sampai kerumah aku terus merebahkan badan ke katil kerana mengantuk yang amat sangat tetapi berbeza bagi ibuku apabila sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata.

28.6.2014

Jam 5 pagi, ibu mengetuk bilik ku. Ada dua pertanyaan ketika itu untuk mengajak bersahur atau ada berita mengenai Wan Angah. Tekaan aku tepat apabila ibu mengatakan Wan Angah telah meninggal tepat jam 3.15 pagi. Hatiku berbalam-balam ketika itu, aku terus mengambil telefon dan ingin menelefon seseorang namun tidak ku teruskan. Aku bertanya kepada ibu, apa patut aku lakukan. Ibu menyuruhku mandi dan bersiap, selepas subuh kita akan bergerak ke Paroi Jaya. Jenazah sudah sampai di sana jam 5.30 pagi.

Sampai ke Paroi Jaya sekitar jam 7.30 pagi. Tidak ramai yang menziarah lagi kerana masih pagi, apabila ibu bercakap dengan Cik Checah iaitu anak arwah Wan Angah air mata aku mengalir deras seperti air hujan yang tidak nampak akan hentinya. Tidak mampu diseka walau aku sudah bertenang sebelum sampai. Kini aku betul-betul dikepala jenazah, aku ingin menatap dan menciumnya tetapi aku tidak kuat.

Ruang tamu kian dipenuhi tetamu dan tiap kali saudara mengucapkan takziah dan sabar pada Cik Checah aku turut terkesan dan air mata ini murah menjatuhkan ke bumi. Esakan demi esakan meruntun hatiku yang dilanda walang ketika itu.

Pihak masjid mengatakan kepada sesiapa yang ingin memandikan jenazah boleh membantu dan dibenarkan hanya 4 orang sahaja namun aku tahu aku tidak kuat untuk menguruskan Wan, aku hanya melihat mereka mengangkat membawa Wan ke tempat dimandikan. Ketika itulah baru dapat ku lihat muka Wan yang aku sayangi, sepanjang itu aku termenung mengenangkan raya kali ini tanpa Wan disisi dan satu hari nanti aku juga akan pergi meninggalkan dunia ini.

Masa untuk mengkafankan, Ya Allah makin bertambah-tambah pilu kerana inilah kali terakhir dapat menatap muka Wan. Sekali lagi aku duduk dekat dengan kepala jenazah, aku ingin melihat dari awal sehingga akhir proses kafan ini. Muka Wan nampak tenang dan sepanjang pengurusan jenazah tenang dan lancar. Kepala Wan diletakkan kapas sebelum diletakkan di tikar untuk dikafankan. Sehelai demi sehelai kain putih dibalutkan ke badan Wan beserta baju dan tudung. Diselang selikan dengan kapas pada tangan dan kaki Wan. Semua telah selesai dan pada sesiapa yang ingin memekapkan Wan dipersilakan iaitu membedak dan mencelak untuk kali terakhir. Sejenis air direnjis dan aku tidak dapat mengenal pasti ketika itu apakah benda tersebut. Namun bau wangi haruman tersebut menusuk hingga membuatkan hatiku bertambah hiba. Inilah perjalanan wan yang sedang lalui dan aku bakal lalui satu hari nanti.

Masa untuk mencium kali terakhir, seorang demi seorang mencium Wan. Paling menyayat hati apabila Wan Ambong aku iaitu kakak kepada Wan Angah mencium dan berkata-kata sambil menangis tinggal dia seorang sahaja lepas ini. Ketika itu, semua diruang tamu bercucuran air mata menahan hiba dan aku rasakan tudung ku basah disirami air mata sendiri sejak tadi. Apabila orang yang kita sayangi telah pergi meninggalkan kita itulah perpisahan yang memilukan bagi sesiapa sahaja. Beralih kepada Amin iaitu sepupu aku yang juga cucu kepada Wan Angah yang telah dijaga sejak kecil. Ketika Amin mencium bunyi esakan dia meruntun kembali hatiku, walau dia lelaki tapi orang yang telah menjaganya dari kecil satu kehilangan paling besar buat Amin. Sehinggakan Cik Checah menenangkan Amin yang tidak dapat menahan perasaan ketika itu, Amin seperti tidak mahu melepaskan Wan Angah. Dan ketika entri ini ditulis, jatuh lagi butiran-butiran air mata ku malam ini.

Aku hanya diam sehinggalah muka Wan ditutup sepenuhnya, selepas ini tidak lagi dapat ku lihat Wan Angah untuk selama-lamanya. Ketika jenazah dibawa ke van jenazah, kerinduan aku turut dibawa pergi. Aku hanya merenung kosong keranda dibawa sehinggalah van hilang dari pandangan mata ku.

Solat sunat jenazah dilakukan sejurus selepas solat Zohor, aku setia menanti sehinggalah dibawa ke tanah perkuburan. Jenazah Wan ditimbus dan itulah bakal ku hadapi suatu hari nanti. Anak-anak, menantu, cucu, saudara mara dan jiran tetangga disekeliling tanah perkuburan mengelap air mata ketika talkin dibacakan. Mataku tidak terlepas memandang ke arah Wan Ambong yang aku lihat sedih menjeruk rasa.

Selesai doa, masa untuk kami melangkah pergi dan selepas 7 langkah datanglah di soal malaikat. Namun hanya di alam barzakh. Aku di dunia fana, menuju ke kereta sehinggalah hilang pemandangan ku dari pusara Wan.

Alfatihah untuk Wan Angah
CHE SOM BINTI LEBAI JAMIN
1935-2014 

Comments

Popular posts from this blog

Buku: OFFLINE DENGAN SYAITAN

kASih IBu...